Baucer RM200



TUMPAT 19 Jan. - Seramai 550 pelajar prauniversiti dari 11 sekolah menengah di jajahan ini menerima bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) berjumlah RM200 seorang bagi meringankan beban ditanggung oleh ibu bapa.

Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar berkata, BB1M melibatkan peruntukan RM110,000 itu mula diagihkan kepada pelajar prauniversiti di jajahan ini bermula kelmarin.

"Agihan ini dibahagikan kepada dua kumpulan kerana jumlah penerima yang ramai. Kumpulan pertama melibatkan 300 pelajar dari enam sekolah. Kumpulan kedua pula melibatkan 250 pelajar dari empat sekolah, termasuk sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

"Bantuan ini diberi bagi meringankan beban keluarga pelajar berkenaan. Bantuan ini diharapkan membantu pelajar yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan BB1M di Dewan Haji Wan Adam, SMKA Falahiah di sini hari ini.
Noor Zahidi berkata, bantuan tersebut membuktikan kerajaan begitu telus dalam membantu rakyat selaras dengan konsep Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

"Sekiranya ada peruntukan kita akan terus memberikannya kepada rakyat dan tidak perlu sehingga pilihan raya untuk bagi bantuan," ujarnya.

Sementara itu seorang penerima dari SMKA Falahiah, Siti Nor Haniff Farhana Mohd. Salleh, 18, memberitahu, sumbangan itu dapat membantu meringankan beban keluarganya.

Menurutnya, bantuan berkenaan juga membolehkannya mendapatkan rujukan terbaik sebagai persediaan menghadapi STPM.

"Walaupun jumlah ini agak kecil, namun ia cukup bermakna buat saya. Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan ini," katanya.

(Dipetik daripada Utusan Malaysia)

Wassalam..